Noh bakal ikut jejak anak sertai PN

BEKAS Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dijangka akan mengikut jejak langkah anaknya Nurul Syazwani menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Gambaran penyertaan bekas Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang itu diberikan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Azmin, pada masa ini Noh sering berada di pentas PN untuk membantu menarik sokongan rakyat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang terutama di Selangor.

“Tan Sri Mohd Omar yang saya kenali dari dulu, tetapi tidak pernah secocok, tak pernah setuju dengan saya. Tetapi Alhamdulillah malam ini kita bersama di Tanjong Karang.

“Jadi Tan Sri tunggu apa lagi? Dua hari lepas di Sungai Besar, malam ini di Tanjong Karang..anak (Nurul Syazwani) dah masuk, ayah tunggu apa lagi.

“Rumah lama (Umno) bukan sahaja dah terbakar..dah ranap, jadi boleh saya umum malam ini Tan Sri? katanya ketika berucap di Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang, malam tadi.

Noh kelihatan mengangguk, namun Azmin tidak mengumumkannya secara rasmi dan percaya bekas pemimpin Umno itu mempunyai strategi sendiri dan menunggu waktu sesuai untuk mengumumkannya.

Pada 13 Mei lalu Pengerusi PN Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mendedahkan Nurul Syazwani antara calon yang dicadangkan pihaknya bagi PRN Selangor akan datang.

Nurul Syazwani bakal dipertaruhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan dijangka mampu memberi kemenangan buat PN di kerusi berkenaan. – Malaysiapost

Kredit foto: Harakah Daily

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights