Tak semestinya hidup miskin untuk tahu erti kemiskinan, Hassan bidas Sanusi

SEORANG pemimpin tidak semestinya mempunyai pengalaman hidup miskin untuk memahami erti kemiskinan bagi membantu golongan itu, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kritikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perdana Menteri ‘tidak tahu apa’ mengenai kemiskinan.

Menurut Hassan, antara pemimpin yang memperjuangkan nasib orang miskin ialah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang mendapat gelaran Bapa Pembangunan berikutan dasarnya membasmi kemiskinan.

“Adakah Sanusi tahu Allahyarham Tun Abdul Razak juga pernah belajar di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar)?.

“Tun Abdul Razak bukan anak orang miskin (tetapi) anak bangsawan dari Pahang. Lihat apa yang dia telah buat tentang memperjuangkan nasib orang miskin?

“Siapakah Perdana Menteri yang membuka beribu-ribu hektar tanah di seluruh negara di bawah rancangan Felda untuk diberikan kepada orang Melayu miskin?.

“Jawapannya ialah Tun Abdul Razak yang bersekolah di MCKK dan bukan dari keluarga miskin,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam satu ceramah Perikatan Nasional (PN) di Tanjong Karang, semalam, Sanusi meremehkan komitmen Anwar untuk membasmi kemiskinan dengan membangkitkan latar belakangnya yang bukan daripada keluarga miskin selain menerima pendidikan di MCKK.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, antara tindakan awal Anwar sebagai Perdana Menteri selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan ialah membantu pesawah miskin.

“Adakah Sanusi sudah lupa bahawa antara tindakan awal Anwar ialah berbincang dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tuan punya syarikat Bernas yang memiliki AP mengimport beras supaya memulangkan sebahagian daripada keuntungannya bernilai RM100 juta untuk membantu pesawah-pesawah miskin?,” katanya.

Menurutnya, sebaik Anwar dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson beliau juga menegur belanjawan yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu kerana tidak bersetuju tindakan memotong subsidi kepada petani, pesawah dan nelayan miskin.

“Sanusi sebagai seorang pemimpin tentu setuju dengan saya bahawa tak semestinya kita pernah hidup miskin baru kita tahu erti kemiskinan.

“Apabila Sanusi telah faham semua ini sekarang, eloklah bersederhana dalam ucapan. Lebih molek jika Sanusi selaku Menteri Besar Kedah menghulurkan salam persahabatan dengan Anwar yang mengetuai Kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya kita (termasuk Sanusi) bersyukur dan terus berdoa kepada Allah supaya Perdana Menteri kita sekarang terus tabah dan istiqamah dalam memperjuangkan nasib rakyat miskin,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights