Tak perlu pelawaan sinikal, ahli Umno yang dibuang tak rugi – Hishammuddin

BEKAS Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegur kepimpinan Umno yang dilihat menyindir dan sengaja berseloroh berhubung pelawaan kepada ahli parti yang dibuang untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023.

Beliau yang kini digantung keahlian menyifatkan tindakan itu hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan Umno yang tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati akar umbi.

“Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada Umno yang asal. Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU secara menyindir dan sengaja berseloroh.

“Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan Umno yang tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenang hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjemput bekas ahlinya untuk menghadiri PAU sekiranya rindu.

Manakala Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula secara berseloroh turut mempelawa mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui samping Umno.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, mereka yang dibuang parti itu tidak akan rugi, sebaliknya Umno yang terkesan daripada pelawaan sinikal sedemikian.

“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah Umno yang terkesan dari pelawaan sinikal sedemikian,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga dilihat meninggalkan komen di hantaran Hishammuddin itu.

“PRN Umno bungkus”. tulisnya ringkas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights