TERENGGANU menjadi negeri pertama menyelesaikan agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, jumlah kerusi dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon BN dan PH akan diumumkan presiden parti masing-masing.
Beliau berkata, rundingan agihan kerusi di peringkat negeri diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti.
“Kita serahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat keputusan muktamad.
“Terpulang kepada presiden parti dalam PH untuk keputusan muktamad, tetapi perbincangan pengagihan kerusi di peringkat negeri sudah selesai dilakukan,” katanya hari ini.
Diminta mengulas senarai calon, Ahmad berkata ia akan dibuat selepas DUN dibubar.
“Senarai calon yang akan bertanding sudah disenarai pendek, tetapi perlu melalui beberapa proses,” katanya. – Malaysiapost