Baguslah Kit Siang terima Tan Sri sebab ‘sama taraf’ dengan Nik Aziz – Tun M

PENGANUGERAHAN gelaran Tan Sri kepada Veteran DAP, Lim Kit Siang adalah ‘setaraf’ dengan bekas Mursyidul Am PAS Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Malah, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh berkata, sumbangan Kit Siang kepada negara tiada bandingan dengan mana-mana individu di Malaysia. 

“Baguslah dia (Kit Siang) terima Tan Sri sebab sama taraf dengan Nik Aziz.

“Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allayarham) Nik Aziz,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Putra,Datuk Ibrahim Ali dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin serta Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas mengenai penganugerahan darjah kebenaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Kit Siang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui tidak mahu beremosi dengan penganugerahan darjah kebesaran kepada Kit Siang.

“Saya tak marah (Kit Siang) terima darjah Tan Sri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights