KEBANYAKAN kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 50mm hingga 150mm.
Ia berikutan negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 15 Mei 2023 dan dijangkakan berakhir pada pertengahan September 2023.
Bagaimanapun Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Kelantan dan Terengganu pula dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 50mm hingga 300mm.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan berkata di Sarawak kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan pada paras purata antara 200mm hingga 300mm, kecuali Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit yangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 100mm hingga 200mm.
Bagi Sabah dan Labuan juga katanya dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm.
“Dalam bulan Julai 2023 sebilangan kawasan di Semenanjung diangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm, kecuali di selatan Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 50mm hingga 150mm.
“Di Sarawak, Kebanyakan kawasan dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100 hingga 250mm kecuali di Miri dan Limbang yang dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu 150mm hingga 300mm.
“Sabah dan Labuan diangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut MetMalaysia, pada Ogos 2023, kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata 100mm hingga 400mm kecuali di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 50mm ke 150mm.
Di Sarawak pula katanya, kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu150mm hingga 350mm, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 150mm hingga 200mm.
“Manakala Sabah dan Labuan juga dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 400mm,” kata kenyataan itu.
Tambah MetMalaysia dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku juka pembakaran terbuka tidak terkawal terutama pada Julai hingga September.
Oleh itu, ia mengingatkan pembakaran terbuka harus dielak bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini,” katanya.
Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
Katanya, ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang mana kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan lebih rendah dengan bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
Bagaimanapun, katanya hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutama pada awal pagi.
“Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya. – Malaysiapost