PENGERUSI Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengakui bukan mudah melihat bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang tersenyum gembira.
Menurut Guan Eng, bapanya sangat gembira dengan ucapan selamat serta tahniah daripada pelbagai pihak.
“Bukan senang melihat ayah tersenyum begini. Mengaitkan apa yang dikatakan oleh orang ramai yang mengucapkan selamat benar-benar menggembirakannya.
Terima kasih sekali lagi semua,” kata Ahli Parlimen Bagan itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut memuatnaik gambarnya bersama Kit Siang yang tersenyum girang.
Semalam Kit Siang dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Ahli politik veteran DAP itu kemudian menzahirkan penghargaannya kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pengurniaan kepadanya.
Dalam hantaran di akaun Facebooknya, Kit Siang, 82, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas ucapan tahniah yang ditujukan kepadanya, namun meminta supaya beliau dipanggil ‘Kit’ saja. – Malaysiapost