KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berhasrat mengadakan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ini kerana tumpuan KPM kini kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Menurutnya, keputusan itu diambil kerana KPM mahu memberi fokus kepada pembangunan holistik murid berdasarkan dua pentaksiran berkenaan.
“PBS dan PBD memberi ruang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan berterusan. Kita tidak akan kembalikan UPSR dan PT3,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu jika KPM bercadang untuk mengembalikan UPSR dan PT3.
Pada 28 April 2022, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan memperkasakan PBS dan PBD.
Manakala pada 2 Jun 2022 kementerian itu juga turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun berkenaan dan digantikan dengan pengukuhan PBS. – Malaysiapost