KRITIKAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bercakap hal kemiskinan rakyat, adalah cara untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu air di Kedah.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Muhammad Sanusi setakat mampu berhujah bahawa Anwar datang dari keluarga Umno serta belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bagi menguatkan dakwaannya
Tegas Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, rakyat Malaysia tidaklah naif untuk menerima hujah Sanusi.
“Sanusi ini sahabat masa kami sama-sama dalam Pakatan Rakyat. Beliau Setiausaha Politik Almarhum Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah ketika itu. Kami saling mengenali langkah politik masing-masing.
“Isu Pulau Pinang milik Kedah dan serang PMX berterusan tujuannya cuma satu.. rakyat Kedahmarah pasai isu air. Kemarahan meluas.
“Apa lagi cara Sanusi untuk alih kemarahan ini?,” soal Saifuddin terhadap Muhammad Sanusi menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurut Saifuddin, Anwar telah melalui pelbagai cabaran dalam hidupnya dan mengumumkan bantuan kepada rakyat miskin sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri.
Mari kita renung fakta ini. (Anwar) kali pertama masuk ISA sebab perjuangkan isu kemiskinan Baling
“Tamat belajar di UM terus buka Yayasan Anda di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Sekolah ini beri peluang kedua kepada pelajar yang rata-rata keluarga miskin.
“Minggu pertama menjawat Perdana Menteri, terus umum bantuan tunai kepada penanam padi yang umum tahu sangat dekat dengan kemiskinan,” katanya lagi.
Kelmarin ketika berucap dalam program Jelajah Selangor Baharu Perikatan Nasional (PN) di Kompleks PAS Tanjung Karang, Muhammad Sanusi menyifatkan Anwar berangan-angan untuk menoktahkan kemiskinan seperti diumum sebelum ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, ini kerana Anwar tidak dilahirkan dalam keluarga miskin seterusnya tidak memahami segala permasalahan dialami oleh golongan miskin.
“Nak muktamadkan kemiskinan, tak payah sembang la, berangan sahaja. Anwar hanya nak memperalat kemiskinan orang sahaja, dia bukan tahu apa pun pasal orang miskin.
“Mana yang lebih kenal (orang miskin), orang yang betul-betul miskin dan bercakap mengenai kemiskinan atau orang kaya yang berpura-pura seolah-olah dia pembela orang miskin.
“PMX (Anwar) tak tahu apa-apa, dia cakap pasal orang miskin, dia (pernah) jadi miskin ke. Dia (Anwar) itu dahulu anak pemimpin Umno, ayah dia seorang Ahli Parlimen manakala mak dia pula adalah Wanita Umno.
“Dia mengaji (belajar) pun dekat MCKK. Jadi hari apa yang dia jadi miskin,” katanya. – Malaysiapost