LKAN: ‘Ini bukan boikot, isunya sekarang kita telah setuju’ – Khairil Nizam

PERIKATAN Nasional (PN) menafikan Ahli Parlimen gabungan itu memboikot perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 pada sesi petang sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, pembangkang tidak perlu menyertai perbahasan usul itu kerana mereka telah bersetuju dengan kandungannya.

Ahli Parlimen Jerantut itu menegaskan, PN bersetuju dengan kenyataan Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya semua pihak menyokong kerajaan agar dapatan audit dan syor terkandung dalam laporan itu diambil tindakan.

“Ini bukan boikot tetapi isunya sekarang ini kita telah setuju. Banyak lagi Rang Undang-undang dan usul dibawa Ahli Parlimen, mengapa tidak dibahaskan?” katanya dipetik FMT, hari ini.

Terdahulu, PN membantah keras Dewan Rakyat membahaskan LKAN 2021, atas alasan membahaskan laporan itu bertentangan dengan Perkara 107(1) Perlembagaan, yang menyatakan ia hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

Laporan itu dipercayai audit bagi tahun yang mana darurat diisytiharkan ketika era Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri berikutan pandemik Covid-19 melanda dunia.

Suhu perbahasan di Dewan Rakyat menjadi panas sebaik sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul membahaskan LKAN 2021 pada sesi petang hari ini.

Terdahulu, Timbalan Speaker, Alice Lau menerusi ciapan di Twitter mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak kelihatan pada sesi petang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, semua wakil rakyat PN tidak akan berada di dalam Dewan Rakyat sehingga usul itu habis dibahaskan.

“Mengikut aturan mesyuarat, sampai petang usul ini akan dibahaskan. Jadi kami dah buat ketetapan (setuju dengan kandungan laporan). Mengapa perlu kami berada di dalam lagi?” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, sewajarnya dapatan LKAN 2021 dibawa ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu, yang dianggotai wakil rakyat pembangkang dan pemerintah.

“PAC berhak memanggil siapa sahaja untuk mendapatkan jawapan jelas. Kemudiannya perkara itu barulah boleh dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

“Itu baru betul caranya bila kita semua ada cukup maklumat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights