Nabil Ahmad sedia bantu kempen anti buli di MRSM

PELAWAK dan penyampai radio, Nabil Ahmad menyatakan kesediaan untuk membantu kempen menjauhi budaya buli kepada pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika bertemu Nabil di pejabatnya, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, Nabil bersedia memberi komitmen membantu menggerakkan kempen anti buli di MRSM yang sedang giat dijalankan pihaknya.

“InsyaAllah saya (Nabil) boleh bantu Doc adakan kempen buat pelajar-pelajar MRSM jauhi budaya Buli dan terapkan nilai-nilai positif – tegas sahabat saya Nabil Ahmad yang beri komitmen bantu tangani isu buli yang saya akan gerakkan di semua institusi pendidikan MARA termasuk MRSM,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mengucapkan terima kasih kepada pengacara popular itu kerana hadir ke pejabatnya pagi tadi untuk berbincang mengenai pelbagai inisiatif untuk merakyatkan MARA.

“Ia termasuk dalam agenda pembangunan insan yang seimbang dan holistik melalui sistem pendidikan MARA,” katanya.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi menegaskan MARA tidak akan berkompromi dengan pelajar di bawah institusi itu yang terbabit dengan kes buli dan pukul.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menutup kes berkenaan seperti didakwa segelintir pihak.

“Tiada kompromi dalam isu buli dan pukul. Saya telah terima laporan dan semua yang terlibat dicadangkan untuk diberhentikan daripada MRSM,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights