Operasi SAR kesan Hawari ditamatkan hari ini

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak 19 Mei lalu ditamatkan hari ini.

Pengurus pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharudin berkata, beliau menerima maklumat daripada ketua misi itu, Azim Afif Ishak bahawa dron yang digunakan bagi operasi SAR berdepan masalah untuk menerima gambar dan video yang dirakam.

“Masalah ini mungkin berpunca daripada faktor cuaca sejuk menyebabkan dron berkenaan sukar untuk berfungsi dengan baik selepas tiga hari berturut-turut digunakan untuk operasi SAR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayu Wanirah berkata, ketika ini, beliau bersama seorang lagi pendaki ME2023 iaitu Tiong Ling Yang sudah berada di Kathmandu, Nepal untuk meneliti gambar dan video yang dihantar sebelum ini.

“Kami akan terus meneliti gambar dan video yang telah dirakam dan sekiranya mendapat petunjuk baharu, kami akan mendapatkan nasihat pihak berkuasa Nepal dan Kedutaan Malaysia di Nepal,” katanya.

Selain masalah dron, Ayu Wanirah berkata, pasukan operasi SAR turut bergelut dengan syarikat pengendali helikopter yang telah dilantik apabila ia memanggil balik juruterbang untuk pulang ke negara asalnya di Jerman.

“Ia sekali gus menyukarkan mereka untuk meneruskan operasi SAR yang berbaki lagi sehari namun terpaksa akur dengan arahan atas faktor keselamatan,” katanya.

Operasi SAR itu menyaksikan dua dron digunakan iaitu jenis DJI Matrice 300 RTK dan DJI Mavic 3 yang diterbangkan khas dari Malaysia.

Muhammad Hawari yang juga pendaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

Susulan itu, SAR dimulakan menggunakan pelbagai kaedah termasuk menyampaikan maklumat kehilangan bapa dua anak itu ke semua kem dan teknologi dron.

Mangsa adalah kumpulan sama yang menyertai ME 2023 bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter. – Malaysiapost

Kredit Foto : Harian Metro

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights