PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Petronas di Menara Berkembar Petronas, hari ini.
Menerusi kunjugan itu, Perdana Menteri berkata, beliau diberi taklimat berhubung industri minyak dan gas oleh syarikat petroleum nasional itu.
Anwar berkata, taklimat turut menyentuh berhubung perencanaan dan strategi masa hadapan Petronas dalam usaha untuk menghasilkan sumber pertumbuhan baharu yang lebih lestari dan bertanggungjawab.
“Saya juga telah mengadakan pertemuan serta perbincangan berasingan bersama Ahli Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan untuk mendengar perkembangan terkini mengenai tugasan yang dilaksanakan.
“Didoakan Petronas terus berkembang pesat dengan jayanya” katanya di Facebook.

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Menara Berkembar Petronas itu disambut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Turut hadir Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas; Liza Mustapha. – Malaysiapost