POLIS akan merakam keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah, esok,
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata rakaman keterangan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar Kedah di Alor Setar.
Beliau berkata, siasatan berhubung kenyataan itu dibuka selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berhubung kes itu.
“Rakaman percakapan MB Kedah akan dibuat esok mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan kes masih pada peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima empat laporan membabitkan Muhammad Sanusi berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau sedia ke mahkamah berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Malah, beliau juga sedia disiasat berhubung dakwaan itu kerana mendakwa mempunyai banyak sandaran (bukti) mengenainya. – Malaysiapost