POLIS telah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung Pulau Pinang milik Kedah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Perdana Menteri berkata sebahagian daripada laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu tindakan selanjutnya.
“Saya telah mendapat dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan beberapa kenyataan.
“Pertama, menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang ke Kedah dan kedua menyatakan ada asas yang kukuh bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
“Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan, kenyataan itu tidak bertanggungjawab,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH- Bagan) mengenai tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang supaya boleh dikembalikan kepada Kedah. – Malaysiapost