Rayer cadang kerajaan tarik gelaran Tun daripada Dr Mahathir

KERAJAAN dicadang untuk menarik balik gelaran Tun yang dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu diutarakan Ahli Parlimen (PH-Jelutong), RSN Rayer ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, pada sesi petang Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer mendakwa, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu telah melakukan serangan terhadap kerabat Diraja dengan melakukan penghinaan menerusi Proklamasi Orang Melayu, lapor MalaysiaGazette.

“Tolonglah hentikan serangan-serangan terhadap kerabat Diraja dan saya minta seperti yang diucapkan oleh YAB Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kelmarin di Istana supaya PDRM tidak berkompromi dan mengambil tindakan terhadap Tun Dr Mahathir kalau beliau masih meneruskan serangan-serangan terhadap kerabat Diraja.

“Saya juga minta kerajaan pertimbangkan supaya gelaran ‘Tun’ beliau ditarik balik kalau beliau masih lagi meneruskan serangan-serangan ini,” katanya.

Menurut Rayer, menerusi proklamasi yang dicanang oleh Dr Mahathir itu, kemungkinan Dr Mahathir akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini telah mengkhinatinya.

Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan cuba menghancurkan negara dengan tidak membenarkan Anwar melaksanakan tugasnya untuk menjaga kebajikan rakyat.

Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kenyataan Dr Mahathir berkenaan penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan itu selari peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights