BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.
Dr Mahathir berkata, beberapa perkara akan dibincangkan dengan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam pertemuan berkenaan termasuk berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Hari ini dia (Muhyiddin) tidak dapat hadir tapi dia sokong penuh Proklamasi Orang Melayu. (Justeru) saya akan adakan pertemuan dengan Muhyiddin di satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikianketika sidang media khas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, hari ini.

Turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin serta Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Jumaat lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyatakan kesediaannya untuk kembali bekerjasama dengan Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Muhyiddin berkata, beliau menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bekerjasama dengannya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, PAS sebagai parti dalam PN bertindak menyokong usaha Dr Mahathir dalam menggerakkan Proklamasi Orang Melayu.
“Kita sudah buat keputusan PN untuk sokong Proklamasi Orang Melayu,” katanya. – Malaysiapost