Tun M nafi persoal, hina institusi diraja

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau cuba mempersoal dan menghina institusi diraja sebaliknya hanya bercerita berkenaan kisah diraja yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, adalah menjadi haknya untuk bercakap mengenai fakta yang sudah diketahui umum.

“Ada dua kes (isu hina institusi diraja dan proklamasi Melayu) saya sebut mengenai raja-raja Melayu dahulu, bagaimana institusi berkenaan tidak mempunyai wang, ada kutipan cukai.

“Saya kaitkan apa yang sudah berlaku, semua orang tahu, takkan saya tidak boleh bercakap.

“Semua tahu mengenai penjualan tanah bernilai RM4 bilion dan saya bertemu dengan pihak yang membeli tanah itu. Tanah itu kekal miliknya sampailah akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan kertas siasatan Dr Mahathir Mohamad bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, Selasa ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya disoal mengenai video yang dikatakan Dr Mahathir bercakap di sebuah majlis, yang membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Dalam video itu, Dr Mahathir mendakwa raja-raja Melayu ‘menyerahkan negeri mereka’, semasa zaman penjajahan British.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir menegaskan Proklamasi Orang Melayu bukanlah bertujuan untuk menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah dihadapi oleh bangsa itu.

Beliau berkata, orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

“Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

“Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights