Harga beras tempatan kekal

KERAJAAN memberi jaminan harga beras putih tempatan kekal sekitar RM2.60 sekilogram walaupun terdapat kenaikan bagi beras putih import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hanya harga beras putih import yang dijual di pasaran tempatan naik kira-kira lima peratus.

“Saya beri jaminan yang naik itu hanya harga beras import berkualiti tinggi, iaitu makanan orang-orang berada.

“Untuk rakyat Malaysia, keadaan beras (tempatan) adalah terjamin sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pesawah sudah berusia dan kini anak muda mula terbabit aktif dalam industri itu dengan konsep berskala besar menggunakan teknologi baharu.

“Di Kedah, misalnya, kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.

“Mereka aktif dalam pertanian dan kita galakkan lagi dengan memberikan pelbagai insentif,” katanya.

Beliau yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika terus berusaha dengan cara moden dan baharu, selain kerjasama dalam kalangan penanam padi.

“Selama ini, stok beras kita mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini tak berlaku kekurangan walaupun kadang-kadang ada kekurangan di satu dua tempat.

“Bernas dan kerajaan dapat berpadu tenaga iaitu ketika suasana sukar pun, beras mencukupi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights