TUAH bakal pengantin baharu ternyata milik pelawak dan penyampai radio, Shuib, apabila memaklumkan menerima tajaan lebih RM1 juta untuk majlis perkahwinannnya dengan Watie Hanifiah pada 23 Jun ini.
Pemilik nama sebenar Shamira Muhammad itu memaklumkan, tajaan yang diterima termasuk set barang kemas daripada Siti Jewel.
“Untuk penajaan, ia membabitkan majlis khatam al-Quran, berinai sehinggalah akad nikah. Nilainya mencecah lebih RM1 juta termasuklah barangan kemas.
“Bagaimanapun, bukanlah semua kos ditaja sebab saya ada keluarkan kos sendiri juga,” katanya.
Shuib berkata demikian pada majlis sidang media Walimatulurus Shuib & Watie di Astro, Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Shuib, majlis perkahwinan mereka akan berlangsung secara sederhana tanpa majlis resepsi dan keputusan itu dibuat atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak.
“Hanya ada majlis khatam al-Quran, berinai dan majlis akad nikah pada 23 Jun ini. Tiada majlis resepsi diadakan kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah.
“Majlis kami sederhana sahaja, tetapi, saya nak majlis akad nikah ada pelamin. Jadi, dapatlah kami bergambar bersama keluarga.
“Watie belum pernah berkahwin dan ini juga perkahwinan pertamanya. Jadi, saya nak majlis menjadi satu kenangan indah buatnya. Kami nak raikan semua orang terutamanya keluarga,” katanya.
Majlis pernikahan pasangan itu akan berlangsung di Putra Glass House, Putra Height dan terhad kepada 600 tetamu undangan sahaja.
Ia akan disiarkan dalam siri mini terbaharu yang akan merakamkan detik manis dan perjalanan cinta pasangan itu berjudul Walimatulurus Shuib dan Watie.
Program tiga episod itu akan menemui penonton secara eksklusif bermula pada 24 Jun ini, jam 9 malam di Astro Ria.
Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada 6 Mei lalu. – Malaysiapost