SUSULAN cuaca panas sejak bulan lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kebenaran khas untuk murid dan pelajar memakai pakaian atau baju sukan.
Ia dibenarkan pemakaiannya semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
KPM turut memaklumkan pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.
Kini selepas lebih sebulan, golongan ibu telah mula ‘bersuara’ agar kelonggaran tersebut terus dikekalkan.
Ini kerana menurut ‘golongan mak-mak’, pemakaian baju sukan atau baju Pendidikan Jasmani (PJ) bukan sahaja lebih selesa bagi murid, malah memudahkan ibu bapa menyediakannya tanpa perlu digosok.
Menerusi perkongsian di laman sosial oleh Dayana, dia berharap pemakaian baju PJ setiap hari di sekolah akan dikekalkan sampai bila-bila.

Perkongsian di laman sosial oleh Dayana, dia berharap pemakaian baju PJ setiap hari di sekolah akan dikekalkan sampai bila-bila.
“Bukan saya kata, tapi mak-mak yang kata sebab seronok tak perlu gosok baju sekolah,” tulisnya.
Hantaran tersebut kemudian dikongsi beberapa laman Facebook popular.
Rata-rata netizen dalam kalangan ‘mak-mak” turut bersetuju dengan saranan itu dan berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat memberi pertimbangan.
“Sokong 100% tanpa bantahan.. anak aku boleh bersiap sendiri, aku pula tak kena menyental,” tulis Dayah Mohamad Isa II.
Deyana Hatazad pula berkata: “Ya Allah sesungguhnya sangat seronok. Tak stress bab baju sekolah dah.”
Zuzaimey Abdul Mutalib pula mencadangkan pakaian seragam sekolah cuma dipakai dua hari seminggu, makanan baju PJ selama dua hari dan sehari lagi baju unit kokurikulum.
Sebelum ini Fadhlina berkata, kebenaran khas memakai baju sukan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan diberikan bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan. – Malaysiapost