YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini menegur tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang memboikot sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021.
Johari turut menyifatkan ketidakhadiran Ahli Parlimen Pembangkang sepanjang sesi itu sebagai bukan amalan biasa.
Beliau yang membangkitkan perkara itu ketika mempengerusikan persidangan, mengesahkan semua Ahli Parlimen pembangkang memboikot semua sesi pembentangan usul berkenaan sejak semalam dan diteruskan hingga petang ini.
:Selalunya dewan penuh, tetapi semalam pembangkang tak mahu terbabit dalam perbincangan atau perbahasan.
“Jadi, mereka sudah buat keputusan untuk boikot dan meninggalkan dewan sejak semalam dan hingga hari ini.
“Ini bukan amalan biasa, tapi agak luar biasa. Jadi, janganlah kita memberi anggapan ini adalah keadaan biasa dalam dewan (tanpa pembangkang), ini tidak begitu. Isu ini agak terpencil (jarang berlaku),” katanya.
Teguran Johari ini kemudian dicelah RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menganggap ketiadaan pembangkang di sepanjang pembentangan usul itu menjadikan keadaan Dewan lebih aman.
“Keadaan aman dan damai tanpa pembangkang,” katanya.
Johari kemudian memaklumkan usul yang pertama kali dibentang dan dibahas serta menempa sejarah baharu buat Parlimen itu diluluskan selepas mendapat sokongan suara majoriti ahli Dewan.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan mahu supaya LKAN Tahun 2021 Siri Dua dibentang dan dibahaskan, sehingga mencetuskan perbalahan antara blok kerajaan dan pembangkang serta mengganggu perjalanan persidangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika membentangkan usul itu semalam, menyifatkan pembentangan bertujuan supaya semua pihak dapat memberikan perhatian terhadap kehendak undang-undang untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik.
Bagaimanapun, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada sidang medianya semalam mempersoalkan tindakan kerajaan membawa usul berkenaan untuk dibahaskan, dengan menyifatkan keputusan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.
Takiyuddin menyatakan perkara berkenaan LKAN seharusnya dirujuk dan dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), memandangkan PAC mempunyai kuasa lebih meluas termasuk memanggil mana-mana pihak yang terbabit dalam sebarang isu berkaitan ketirisan perbelanjaan kerajaan. – Malaysiapost