Sukan Para Asean capai sasaran, Ahmad Fadhli sindir Hannah

KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari menyindir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan kejayaan Kontinjen Malaysia yang berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja semalam.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu, membandingkan kejayaan kontinjen negara bagi sukan para dan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran emas dalam temasya Sukan SEA di Kemboja beberapa minggu lalu.

“Tahniah Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja semalam sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya pada Jumaat ini.

“Beberapa minggu lepas kontinjen negara gagal capai sasaran jumlah emas di Sukan Sea akibat ketidakstabilan politik. Sekarang, politik sudah stabil,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli sebelum ini menggesa Hannah dan Timbalannya, Adam Adli memohon maaf secara terbuka atas kegagalan negara mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu membuat pasca nilai bagi mengetahui punca sebenar dan tidak hanya menyalahkan atlet semata-mata.

Hannah mengakui ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun kebelakangan ini turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Menurutnya, ketidakstabilan politik negara menyaksikan segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

Temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja baru-baru ini membabitkan penyertaan kontinjen Malaysia seramai 674 atlet dan 312 pegawai termasuk sekretariat serta pasukan perubatan.

Kontinjen Malaysia berjaya meraih 34 pingat emas, 45 perak iaitu lapan pingat tambahan dan 96 gangsa dengan 32 tambahan pingat melebihi sasaran.

Malaysia menduduki tangga ketujuh dengan 175 pingat keseluruhan iaitu melebihi sasaran 141 pingat, namun gagal mencapai sasaran 40 pingat emas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights