SUKAN tempur akan diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan di sekolah berbanding aktiviti badan beruniform sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, ia antara tujuh perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan yang dipengerusikannya hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adili telah membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan sukan.
Ahmad Zahid berkata, ketetapan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa dalam mesyuarat itu adalah menggalakkan lebih banyak kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah bagi menarik minat pelajar dan mencungkil bakat-bakat baru
“Mewujudkan dan menggiatkan pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi dan aktiviti Rakan Aktif salah satu teras Rakan Muda di sekolah-sekolah,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, tiga lagi ketetapan adalah Biasiswa Sukan Persekutuan KBS diserahkan dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT);.
“Institut Sukan Negara diberikan peranan dalam memperluas, menyelaras serta menganjurkan program pendidikan dan pelesenan kejurulatihan.
“Dan permohonan Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta diperluaskan kepada kelab dan persatuan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KPT untuk melaksanakan Agenda Nasional Sihat di peringkat komuniti,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya Jawatankuasa Peringkat Tertinggi itu mengambil berat isu pembangunan sukan negara dan memberi komitmen bagi memastikan sukan mampu memartabatkan nama negara. – Malaysiapost