953 pelajar MRSM peroleh semua A dalam SPM

SERAMAI 953 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya mencatat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pencapaian itu sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 904 pelajar pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak lima MRSM mencatat keputusan terbaik adalah MRSM Kepala Batas; MRSM Langkawi, MRSM Tun Abdul Razak; MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Johor Bahru dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0.

“Selain itu, MRSM Alor Gajah, MRSM Pasir Tumboh, MRSM Sungai Besar, MRSM Taiping dan MRSM Kota Putra juga mencatatkan GPM kurang daripada 2.0.

“Syukur Alhamdulillah dengan pencapaian pelajar SPM MRSM seluruh Malaysia yang berjaya mencatatkan peningkatan prestasi yang amat membanggakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak 24 MRSM berjaya mencapai KPI Gateway to Holistic Education 2021- 2025 Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan memperoleh GPM kurang daripada 2.50.

Katanya, pencapaian SPM 2022 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon yang memperoleh semua A+ adalah seramai 30 orang.

“Sementara, bilangan calon yang memperoleh semua A (A+, A dan A-) adalah seramai 953 orang berbanding 904 orang pada tahun 2021,” katana.

Asyraf Wajdi berkata, terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.

Beliau berkata, bagi subjek Bahasa Inggeris sebanyak 30 MRSM berjaya mencapai KPI BPM dengan peratusan pelajar yang memperoleh lebih daripada 81 peratus Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+).

“MRSM Kuala Kubu Bharu mencatatkan 100% A bagi subjek Bahasa Inggeris manakala MRSM Gemencheh, MRSM Kepala Batas, MRSM Tun Dr Ismail, MRSM Semporna dan MRSM Pasir Tumboh mencatatkan 100% A bagi subjek Pendidikan Islam. Bagi subjek teras Matematik, MRSM Tun Abdul Razak mencatatkan keputusan 100% A.

“Di samping itu, pencapaian subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“Selain itu, subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan dan Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan GPS. MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100% A bagi subjek Bahasa Arab,” katanya.

Terdahulu, seramai 10,109 atau 2.7 peratus daripada 373,974 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022 memperoleh keputusan semua A.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, ketika mengumumkan keputusan itu berkata, seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights