ANAK saudara kepada bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya yang didakwa dengan tiga tuduhan rasuah berhubung tidak melaporkan kemasukan pekerja asing enam tahun lalu, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat bahawa representasi untuk menggugurkan tuduhan yang telah dihantar kedua-dua tertuduh, R. Naveen Kularasa, 51, dan bekas pekerja Sivarasa, Nico Kam Joo Hoe, diterima Jabatan Peguam Negara.
Katanya, susulan itu pendakwaan memohon untuk menarik balik tiga tuduhan rasuah tersebut dan melepaskan tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh.
Pada peringkat itu, peguam kepada Nico, Ramesh Sivakumar memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan, dengan menimbangkan bahawa adalah tidak adil membiarkan tuduhan membelenggu kedua-dua tertuduh sekiranya pendakwaan menukar fikiran.
Beliau juga berkata, aduan kes itu sudah lama iaitu pada 2017 dan mereka pula dituduh pada tahun lepas.
Katanya, kes tersebut hendaklah dibawa kepada titik pengakhiran.
Selain Ramesh yang mewakili Nico, peguam M. Puravalen pula mewakili Naveen.
Selepas meneliti hujahan itu, Hakim Azura Alwi kemudian memutuskan untuk melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin dikembalikan kepada penjamin.
Pada 24 Januari tahun lalu, Naveen dan Nico didakwa bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman.
Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik lelaki itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertudh didakwa telah secara rasuah iaitu bersetuju untuk menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Nico (tertuduh kedua) berhubung perkara sama. – Malaysiapost