YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menegur Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyindirnya berhubung penolakan usul bagi membahaskan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Johari berkata, sindiran itu dibuat oleh Ahli Parlimen berkenaan pada Sidang Dewan Rakyat sesi pagi tadi yang disifatkan tidak adil terhadap dirinya.
Menurutnya, Syed Saddiq membuat andaian usul LCS ditolak kerana beliau mengatakan isu itu kepentingan orang ramai dan tiada keperluan mendesak.
“Maksudnya, mengikut Muar (Syed Saddiq), saya tolak usul itu kerana mengandaikan saya menganggap ini bukan kepentingan orang ramai dan bukanlah keperluan yang mendesak.
“Sedangakn Muar tidak berlaku adil, sebab ada di perenggan keempat surat saya kepada Muar yang cukup jelas bahawa usul berkenaan tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 18(7) (C).
“Saya dimaklumkan Kementerian Pertahanan dikehendaki membentangkan laporan kemajuan projek kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek itu disiapkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Johari berkata, PAC sudah membuat keputusan untuk melawat lokasi pembinaan LCS di Lumut dan membuat siasatan lanjut.
“Maknanya bila PAC dah buat keputusan, kita nak bincang buat apa lagi? Tunggulah sampai laporan PAC.
“Selepas itu kita akan bincangkan dan saya akan benarkan selepas laporan dibuat oleh PAC,” katanya.
Beliau mengingatkan semua ahli Parlimen supaya tidak ‘menyerang’ Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker yang hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat.
“Saya hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam ini (Peraturan Mesyuarat), jadi bila saya membuat keputusan saya berpandukan kepada dua dokumen ini (Peraturan Mesyuarat).
“Jadi adalah tidak adil untuk Muar dan Ahli Parlimen lain juga…anda nak bergaduh sesama anda teruskan saya tidak peduli, tetapi jangan serang Speaker dan Timbalan-Timbalan saya.
“Saya minta Muar perbetulkan…jangan berlaku tidak adil, anda nak main politik mainlah tapi jangan main politik dengan saya, sebab saya di sini bukan ahli politik, saya Speaker Dewan ini,” tegasnya.
Johari turut menegaskan rakyat memerhati serta memperkatakan mengenai persidangan di Dewan Rakyat dan beliau sebagai Speaker adalah yang paling terasa bila ia dikritik.
“Apabila orang luar mengkritik saudara-saudari sekalian sebagai Ahli Parlimen, orang yang paling terasa adalah saya. Sebab itu apabila ada satu lukisan dibeli oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya cukup terasa,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mempertikaikan usul membahaskan LCS dibawanya ditolak. – Malaysiapost