Haramkan Jocelyn Chia jejak kaki ke Malaysia – Pemuda Umno

PEMUDA Umno akan turun ke jalanan dan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) esok, untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan pelawak yang menghina dan memperlekehkan Malaysia.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, selain membuat bantahan berkenaan pada jam 2 petang, pihaknya menggesa kerajaan untuk mengharamkan Jocelyn Chia menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Esok jom kita sama-sama turun dan tunjukkan bantahan atas kebiadapan Jocelyn Chia terhadap rakyat Malaysia

“Kita bantah dan tuntut kerajaan Malaysia untuk mengharamkan petualang ini untuk menjejakkan kakinya di bumi Malaysia selepas ini,” katanya menerusi Facebook.

Tegasnya, kebebasan bersuara perlu disulami dengan akal fikiran yang baik sekiranya tiada berakal maka hasilnya membawa mudarat.

“Bumi berdaulat ini tidak memerlukan petualang seperti ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura yang bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video itu, Jocelyn Chia membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights