Isu kalimah Allah: Titah Sultan Selangor tepat, melegakan – Annuar

MUAFAKAT Nasional (MN) menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor supaya isu kalimah Allah dibawa terlebih dahulu ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja (MRR).

Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan melegakan.

“Ini memandangkan setakat ini, isu ini tidak diurus dengan baik sehingga banyak perkara menjadi kabur dan meragukan.

“Penegasan Sultan Selangor yang mahukan satu penyelesaian tuntas dan muktamad adalah sangat tepat.

“Kita menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong atas ketegasan dan kecaknaan terhadap isu yang penting ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Selangor Selangor bertitah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan baginda untuk membawa isu kalimah Allah kepada MKI pada Ogos depan sebelum diangkat kepada MRR pada Oktober ini.

Baginda selaku Pengerusi MKI percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada MRR dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Persetujuan itu disepakati selepas Sultan Sharafuddin mengadakan perbincangan dengan Anwar di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, semalam.

“Beta disembah maklum berhubung komitmen Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Anwar yang akan merujuk isu ini kepada MRR bagi penetapan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Dalam perbincangan itu, beta selaku Pengerusi MKI menyuarakan pandangan yang juga dipersetujui Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincang selaras fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam pada peringkat Persekutuan,” titah baginda. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights