‘Jadikan tragedi MH370 bahan lawak perbuatan biadap’ – Anthony Loke

TINDAKAN Pelawak wanita, Jocelyn Chia memperlekeh Malaysia dan mempersenda tragedi kehilangan pesawat Malaysia, MH370 sebagai bahan jenaka, adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kenyataan wanita itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima selain disifatkan sebagai biadap dan kurang ajar.

“Tragedi itu membabitkan lebih 200 nyawa dan tiada manusia lain yang akan melakukan perkara sebegitu,” katanya.

Anthony berkata, susulan isu yang turut mendapat reaksi negatif oleh pelbagai pihak, beliau juga telah menghantar mesej kepada rakan sejawatannya dari Singapura, S Iswaran.

“Beliau juga menyatakan rasa terkejut dan saya lihat Singapura telah mengambil langkah segera untuk memastikan perkara itu tidak dijadikan sebagai isu yang boleh dipolemikkan oleh mana-mana pihak yang boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara,” katanya.

Anthony berkata, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon juga dengan segera mengeluarkan kenyataan menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas perkara tersebut serta mengkritik lawak yang dipersembahkan wanita itu.

Beliau berkata, walaupun Jocelyn mengganggap itu sebagai jenaka, namun setiap jenaka perlu ada batasnya dan sepatutnya tidak menggunakan sesuatu tragedi untuk dijadikan bahan lawak.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura yang bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video itu, Jocelyn Chia membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights