JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan dua pegawainya antara beberapa individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang semalam, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misman, berkata dua pegawai JPN yang ditahan SPRM itu disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.
Beliau berkata, ia hasil kerjasama strategik antara JPN dan SPRM, dengan JPN berkongsikan hasil risikan dalaman yang telah dilakukan kepada SPRM yang membawa kepada penahanan pegawai terbabit.
“Jabatan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zamri berkata, JPN sama kali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah.
Beliau berkata, JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangan, yang didapati terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tindakan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan, sekiranya pegawai yang ditangkap dibuktikan bersalah,” katanya.
Menurutnya lagi, JPN komited memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri secara berterusan, serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan beberapa individu termasuk doktor pakar dan pegawai JPN, kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.
Mereka disyaki bersubahat menyediakan dokumen palsu, bagi membolehkan beratus bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram, didaftarkan di JPN. – Malaysiapost