POLIS kini sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang juga anak teman wanitanya.
Kejadian dera itu dipercayai berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kes penderaan kanak-kanak itu pada 5.05 petang semalam.
Menurutnya, kejadian terbongkar selepas kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah keluarga ibunya di Taman Setapak Jaya dan susulan itu polis kini mengesan suspek dikenali sebagai Amir Shafiq Suhaimi, 31.
“Suspek dipercayai memukul mangsa hingga bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, difahamkan ketika kejadian ibu mangsa ada bersama anaknya namun tidak melawan suspek.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan usaha memburu suspek giat dilakukan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost