KERAJAAN menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat berhubung tindakan pelawak wanita Singapura, Jocelyn Chia yang mempersendakan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan itu dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya SKMM dan juga PDRM untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan.
“Hasil siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Terdahulu Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau amat terkejut dengan komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam satu persembahan komedi berdiri, baru-baru ini.
“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau mengguris hati perasaan orang lain,” katanya.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara itu. – Malaysiapost