KERTAS siasatan membabitkan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenai rancangan menjatuhkan kerajaan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan polis itu membabitkan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau).
Menurutnya, polis sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC selepas kedua-dua kertas siasatan itu diserahkan.
Beliau berkata, Shahidan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berkaitan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Abdul Hadi pula disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan kenyataan dalam video Ahli Parlimen Marang itu berkaitan menumbangkan kerajaan sedia ada melalui sistem demokrasi negara.
“Kedua-dua kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak AGC untuk arahan lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan tindakan kerajaan terhadap pihak yang merancang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, khususnya Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan bersifat menderhaka. – Malaysiapost