Logo halal Malaysia disijilkan JAKIM diterima di Indonesia tanpa halangan

KERJASAMA Malaysia dan Indonesia dalam bidang-bidang pensijilan halal telah dipereratkan lagi menerusi termeterainya Memorandum Kerjasama (MOC) kedua-dua negara mengenai pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk tempatan, hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan memaklumkan memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang mewakili Malaysia.

Manakala Republik Indonesia pula diwakili oleh Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Muhammad Aqil Irham Mohd.

“Melalui MOC ini, JAKIM akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf di Republik Indonesia, manakala BPJPH sebagai badan pensijilan halal di Republik Indonesia akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf di Malaysia.

“Dengan pengiktirafan ini, maka produk dan logo halal Malaysia yang disijilkan oleh JAKIM boleh memasuki pasaran Republik Indonesia tanpa halangan dan produk yang dikilangkan di Republik Indonesia dan memakai logo halal BPJPH boleh memasuki pasaran Malaysia,” menurut kenyataan itu.

JAKIM memaklumkan, kerjasama itu sekaligus memudahkan pengeksportan produk Malaysia ke Republik Indonesia serta menyumbang kepada peningkatan perdagangan produk halal antara kedua-dua negara.

“Selain itu, MOC ini juga membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal yang meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk halal demi kepentingan bersama.

“MOC ini akan menjadi perintis kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan halal yang lebih luas pada masa pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights