Malaysia kecam pelawak Singapura persenda tragedi MH370

MENTERI Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengecam tindakan pelawak wanita, Jocelyn Chia melalui rakaman videonya yang secara jelas memperlekeh Malaysia dan mempersenda tragedi pernah melanda negara.

Beliau yang turut meluahkan rasa kesal berkata, tindakan itu langsung tidak menunjukkan rasa sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia dan keluarga mangsa.

“Video ini juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila.

“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara, apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara.

Terdahulu, tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura yang bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video itu, Chia membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights