KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, menegur sikap pemimpin-pemimpin parti yang disifatkan sebagai ‘warlord’ dan tidak mahu berubah kerana sayangkan jawatan, hingga menjadi antara punca Umno sukar untuk berubah.
Beliau berkata, akar umbi parti sudah bersedia dan mahu melihat Umno melalui proses perubahan yang sebenar, termasuk melihat lebih ramai anak muda diberi tanggungjawab memimpin parti.
“Mereka yang tak mahu berubah adalah ‘warlord’ yang sayangkan jawatan, tetapi akar umbi dibawah nak berubah.
“Pemuda jangan gentar, saya menang sebagai Ketua Bahagian termuda. Maksudnya apa? Rakyat akar umbi dibawah nak berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ketua Umno Bahagian Jasin itu turut mengingatkan pemimpin Umno supaya berhenti daripada bertelagah sesama sendiri, sebaliknya menumpukan usaha memujuk mereka yang tidak lagi berada dalam saf kepimpinan untuk kembali bersama.
Menurutnya, pemimpin parti juga perlu berhenti daripada bercakap soal kuasa politik sehingga mengenepikan peranan utama iaitu untuk membantu rakyat.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin Umno untuk memulihkan kembali parti memandangkan UMNO kini berada di kedudukan terbawah.
“Pemuda Umno menyeru kepada yang di luar sana (supaya) kembalilah dengan Umno, bersama dengan kita.
“Mereka yang di luar.. marilah masuk semula. Umno tak mampu untuk berpecah, bertelagah.
“Jangan kita sindir-sindir ahli parti kita….jangan kita perkecilkan mereka di luar kerana mereka juga mempunyai jasa kepada parti ini,” katanya.
Beliau menegaskan Pemuda Umno ada mempelopori cara dan pendekatan baharu ke arah politik yang jauh lebih matang.
Menurutnya, Umno perlu berubah mengikut kehendak rakyat dan berhenti daripada membawa politik kebencian.
“Sebab ini zaman politik sudah berubah, zaman (di mana) parti politik memerlukan pengundi (sedangkan) rakyat boleh hidup tanpa parti politik.
“Parti politik dan rakyat umpama badan dan jantung. Kalau badan berhenti, jantung masih boleh berjalan. Tapi kalau jantung yang berhenti dulu, kita orang politiklah yang jalan dulu.
“Cukuplah kita bercakap politik dengan memburukkan orang lain. Untuk menjayakan ini, kita kena berani berubah dan jangan takut, jangan gentar. Apabila kita berani membuat perubahan, rakyat akan kembali percaya kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda Umno juga menyahut seruan kepemimpinan untuk menggerakkan Kongres Melayu bagi menghasilkan Pelan Tindakan Melayu Maju. – Malaysiapost