DAP dituntut membuat permohonan maaf atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sebelum ini sehingga mengguris hati semua ahli parti sehingga kini.
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada Umno.
“Pemuda Umno menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.
“Kalau jujur, kenapa dengan GPS boleh buat, kenapa bukan dengan kita?.
“Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang Umno, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada Umno dulu.
“Saya mohon kepimpinan DAP kalau mahu nak menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, mahu hati orang Umno lebur, maka satu tuntutan maaf kepada DAP atas tohmahan selama ini, mesti dilakukan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya tidak mahu berselindung lagi mengenai perkara itu kerana ia adalah cara Pemuda Umno.
“Inilah cara kita. Kita tak ada selindung lagi, kita kena jujur dengan apa yang kita junjung. Inilah luahan hati akar umbi.
“Kita tak nak cakap benda baik sahaja. Kena cakap realiti apa yang berlaku di bawah ini. Supaya kita dapat selesaikan perkara pokok ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui sedar kedudukan Umno bersama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini sedikit meresahkan akar umbi.
“Saya faham, dalam rumah kita ini ada yang resah, ada gelisah. Meskipun sudah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba.
“Kita nak tegaskan, Pemuda Umno akan pastikan yang Umno tidak akan sesekali menjadi DAP. Inilah cara kita, tiada selindung, jujur yang kita junjung,” katanya.
Katanya, penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini juga dibuat atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk menjamin kestabilan politik negara.
“Kita bersama untuk membentuk kerajaan. Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan.
“Kalau ada yang berani melintas, Pemuda Umno yang pertama akan datang mencantas,” katanya. – Malaysiapost