‘Muhammad masih menangis hilang papa’, isteri kru MH370 kecam Joceylin Chia

ISTERI seorang kru pesawat MH370 yang masih hilang, Intan Maizura Othman, mengecam dan meluahkan rasa terkilan terhadap pelawak Singapura, Joceylin Chia yang mempersendakan tragedi berkenaan.

Intan Maizura menerusi hantaran di Instagram berkata, apa yang disebut pelawak tersebut tidak kelakar kerana anaknya, Muhammad masih menangis sehingga ke hari ini kerana kehilangan seorang ayah.

“Ia sangat tidak lawak. Tidak kisah seberapa teruknya kamu, jangan sesekali bergurau mengenai tragedi berkenaan.

“Anak saya, Muhammad, masih lagi menangis sehingga hari ini atas kehilangan seorang papa. Dan, kamu boleh lagi mempersenda tragedi MH370,” luahnya.

Menurut Intan Maizura, pelawak berkenaan seharusnya sedar bahawa tragedi tersebut masih meninggalkan impak besar kepada seluruh keluarga mangsa.

Ibu kepada dua cahaya mata turut menyifatkan pelawak berkenaan tidak mempunyai perasaan empati.

“Adakah kamu tahu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga ke hari ini? Kamu tidak tahu kerana kamu tidak mempunyai empati dan hati.

“Atau kamu tidak mempunyai keluarga, malah jika kamu ada keluarga, saya percaya mereka akan berasa malu hari ini atas kebodohan kamu,” katanya.

Dalam luahan itu, Intan Maizura berkata, tinggal di negara membangun tetapi mempunyai hati serta perasaan adalah jauh lebih baik daripada tinggal di negara yang kononnya kelas pertama di dunia.

Beliau turut meminta supaya berhenti normalisasi segala perkara bodoh semata-mata untuk meraih perhatian.

Intan Maizura kehilangan suami, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan dalam tragedi sembilan tahun lalu.

Beliau ketika itu mengandung anak kedua yang dinamakan Muhammad.

Tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura yang bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di New York, baru-baru ini.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights