PEMUDA Umno tidak akan menarik balik tuntutan mendesak DAP meminta maaf terhadap segala tohmahan yang dilemparkan mereka kepada parti itu selama ini.
Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata Pemuda tidak gentar walaupun ada pihak yang menggelarkan mereka sebagai ‘langau’ dan ‘biadab’ susulan desakan berkenaan.
Tegasnya, apa yang penting sayap parti itu mesti membawa suara rakyat serta suara keramat Umno.
“Kami sayang parti kita Umno, kalau tak sayang kami tak cakap perkara yang betul. Bila Pemuda bersuara, ini adalah suara akar umbi dari bawah.
“Pemuda jangan pernah rasa apologetik, keluar dari dewan ini kita patut berbangga kerana kita bawa suara akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2023, hari ini.
Terdahulu, Dr Muhammad Akmal mendesak DAP memohon maaf terhadap segala tohmahan yang dilemparkan mereka kepada Umno selama ini.
Dr Muhamad Akmal dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Pemuda pagi tadi berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada Umno.
Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulas mengenai gesaan itu berkata, perkara tersebut tidak perlu lagi ditimbulkan kerana ia sudah melalui rundingan lebih awal antara Umno dan DAP sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost