PRN 6 negeri ‘pertempuran’ penting, penentu jatuh bangun Umno – Noraini

WANITA Umno percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menjadi kayu pengukur jatuh bangun parti itu.

Justeru, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, gerak kerja Umno perlu diatur dari sekarang bagi memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan di PRN.

“Pertempuran ini sangat penting. Setelah meneliti ucapan-ucapan daripada pembahas, ramai yang menyentuh mengenai kerjasama Umno dengan parti-parti lain. Umno perlu segera menentukan jalur politik yang hendak dibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sayap Wanita sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Noraini berkata, gabungan dalam kerajaan Perpaduan merangkumi 19 parti dan ia merupakan gabungan yang besar dan harus dimanfaatkan.

“Jangan kita sia-siakan. Kita boleh satukan kekuatan setiap gabungan untuk dimanfaatkan bersama. Berbekalkan pengalaman yang pelbagai ini, kita mampu memberi tawaran yang terbaik untuk rakyat dan mengembalikan sokongan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Noraini berkata, parti tidak seharusnya memberikan kerusi tidak boleh menang kepada calon wanita.

“Kerusi ini kita tidak boleh menang, kita letak sahaja calon wanita. Tidak boleh begitu, kena bagi kerusi yang boleh menang.

“Jangan calon lelaki diletakkan di kerusi elok-elok (boleh menang) sahaja, mana yang tidak elok (tidak boleh menang) kasi kepada wanita untuk penuhkan kouta, matilah macam tu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights