PENCERAMAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed menegur selebriti lelaki berhubung pandangannya yang disifatkan songsang membabitkan isu berkaitan aurat dan solat.
Tegas PU Syed, mendirikan solat dan menutup aurat adalah satu kewajipan terhadap umat Islam.
“Jika diberi pilihan antara isteri yang menutup aurat tetapi tak solat, dengan isteri yang tak menutup aurat tetapi solat..maka janganlah pilih dua-dua.
“Kalam seorang pelakon di perkampungan Sunnah tempoh hari, bagi ambe (saya) hanya untuk menegakkan benang yang basah.
“Tidak solat dosa besar..tidak menutup aurat juga dosa besar,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Jelas beliau, dosa tidak menutup aurat seorang isteri akan terbias kepada suami jika tidak melarang atau menegahnya.
Sebaliknya, katanya, jika suami sudah menegah tetapi tidak diendahkan, maka isteri itu telah nusyuz kerana enggan taat kepada suami dan khasnya perintah Allah.
“Jadi jangan beri pandangan yang songsang dalam perkampungan Sunnah itu dan wajar asatizah yang hadir pada waktu itu untuk menegur pelakon terbabit,” katanya.
Terdahulu, tular di TikTok rakaman video memaparkan pelawak dan juga penyampai radio, Johan, menjawab isu wanita tidak bertudung tetapi solat berbanding bertudung tetapi tidak solat.
Dalam rakaman itu, Johan dikatakan akan memilih wanita tidak bertudung tetapi solat berbanding wanita tidak solat tetapi bertudung sekiranya hanya diberi dua pilihan. – Malaysiapost