Puteri Sarah bantah injunksi Syamsul

PELAKON Puteri Sarah sudah memasukkan bantahan terhadap permohonan injunksi yang dipohon suaminya, Syamsul Yusof.

Permohonan injunksi Syamsul itu adalah bagi perintah untuk menghalang Puteri Sarah daripada memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk atau medium.

Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang bertindak mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memberitahu pemberita, antara alasan dikemukakan dalam afidavit permohonan bantahan itu ialah, ia menyentuh mengenai kebebasan bersuara.

Beliau berkata demikian selepas prosiding sebutan permohonan injunksi inter-parte (secara kedua belah pihak) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Dalam prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menetapkan pada 14 Ogos depan untuk membuat keputusan terhadap permohonan injunksi berkenaan.

Hakim turut memerintahkan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof dan Puteri Sarah memfailkan hujahan sebelum tarikh keputusan terbabit.

Pasangan selebriti itu bagaimanapun tidak hadir pada prosiding sebutan kes hari ini.

Dalam pada itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul berkata, mahkamah turut membenarkan injuksi terhadap Puteri Sarah dilanjutkan sehingga keputusan dibuat mahkamah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu manakala Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights