PENGERUSI Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, mendakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak layak memegang jawatan Menteri Besar Kedah kerana bersikap tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sikap itu terbukti apabila Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu cuba menyalahkan media atas dakwaan salah lapor mengenai kenyataan menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menuntut semula Pulau Pinang.
Menurutnya, penafian Muhammad Sanusi dan menyalahkan media itu menunjukkan sikap sebenarnya yang sepatutnya jujur, berani dan penuh dengan keyakinan politik maksudkan apa yang dikatakannya.
“Jika FMT tersalah lapor dan salah petik beliau, maka Sanusi sepatutnya menghubungi FMT segera dan meminta penarikan balik dan pembetulan laporan berita itu pada 31 Mei lalu.
“Kenapa perlu dibangkitkan sekarang, tujuh hari kemudian, selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998?
“Sekiranya FMT enggan membuat pembetulan, Sanusi kemudian boleh membuat laporan polis terhadap FMT. Bagaimanapun, hakikatnya Sanusi tidak segera menghubungi FMT untuk pembetulan selepas FMT menyiarkan laporan itu pada 31 Mei,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Guan Eng, tindakan itu jelas membuktikan bahawa beliau memang membuat kenyataan meminta Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menuntut semula Pulau Pinang kepada Kedah.
“Selepas tujuh hari, Sanusi kini tidak lagi boleh menafikan dia membuat tuntutan sedemikian dan menegakkan benang yang basah.
“Sanusi menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah maka tidak layak untuk jawatan penting Menteri Besar Kedah,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yakin wartawan telah mendapat semua bukti secara bertulis daripada Muhammad Sanusi sebelum menulis laporan berita yang begitu penting.
“Sanusi harus berani untuk mengakui apa yang diperkatakannya dan bukannya baling batu sembunyi tangan,” katanya.
Menurutnya, Menteri Besar Kedah itu juga sering membuat kenyataan kesat yang sarat dengan makian, selain melontarkan ucapan menghasut tidak berasas, terutamanya mengenai isu yang berkaitan dengan kaum, agama dan Raja-Raja Melayu.
“Perdana Menteri telah memberi isyarat di Parlimen bahawa Kerajaan Perpaduan tidak lagi berdiam diri dan membenarkan Sanusi terus mencetuskan sentimen orang ramai dengan kelakuan berbahayanya yang memecahbelahkan dan menjejaskan perpaduan negara,” katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa berbanding hanya RM10.01 juta yang dibayar ketika ini.
Menurutnya, Guan Eng salah apabila merujuk kepada laporan sebuah portal berita yang mengatakan beliau membuat kenyataan meminta Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menuntut semula Pulau Pinang kepada Kedah. – Malaysiapost