SUASANA hiba menyelubungi Perhimpunan Agung Pemuda Umno ketika Anugerah Tokoh Pemuda 2023 kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diumumkan, hari ini.
Tangisan perwakilan ‘bergema’ mengiringi pemberian anugerah itu yang disampaikan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar.
Kedua-dua mereka dilihat mengalirkan air mata, sebelum seorang lagi anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Naib Ketua Pemuda Umno, Hairi Mad Shah menyertai mereka.
Mereka kemudiannya berpelukan manakala perwakilan yang hadir dilihat melaungkan takbir dan ‘Bossku’.
Najib yang pernah memimpin sayap itu dari tahun 1987 hingga 1993 diberikan penghargaan atas kecekalannya berdepan cabaran dalam politik dan pembunuhan karakter sehingga dipenjarakan.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost