Zahid ucap selamat maju jaya kepada 10 ‘warlord’ sertai parti lain

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat maju kepada 10 ‘warlord’ daripada parti itu yang dikatakan akan menyertai blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan itu tidak akan memberi kesan terhadap Umno kerana keadaan sama pernah berlaku sebelum ini.

“Telah dibisikkan kepada saya tentang 10 ‘warlord’ daripada Umno. Mungkin ini kali pertama mereka tidak dapat menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Saya dimaklumkan bahawa mereka (10 warlord) berhasrat untuk menyertai parti-parti lain. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

“Insya-Allah bagi PRN di enam negeri nanti, kita akan menyusun gerak kerja bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Laman Media sempena PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penyertaan pemimpin Umno ke parti lain bukanlah perkara baru dan beliau percaya rakyat tetap akan menyokong Umno.

“Umno insya-Allah tetap Umno dan rakyat khusnya orang-orang Melayu dan Islam akan terus menyokong Umno,” tegasnya.

Beliau berkata, bagaimanapun Umno perlu menangkis fitnah dilontarkan musuh bagi mengelak impak seperti yang menimpa parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berulang.  

“Kita mesti melempiaskan soal fitnah dan mehnah (ujian) yang dilontarkan oleh mereka, kerana ia agak terkesan dalam PRU-14 lalu dan PRU-15.

“Insya Allah, kita ada Ketua Penerangan baharu (Datuk Seri Azalina Othman Said). Kita ada Setiausaha Agung baharu (Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki). Insya Allah, cara bergerak itu akan berbeza daripada waktu lampau,” katanya.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mendakwa sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada Umno dijangka menyertai gabungan itu sebelum PRN. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights