SEORANG penyelia kilang dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini, atas pertuduhan mengugut dan mencederakan pemandu wanita yang video kejadian itu tular.
Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan namun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula tarikh sabitan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zaim didapati menakutkan secara jenayah terhadap mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah – Cameron Highlands pada jam 5.33 petang, 5 Jun lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, J Geetha memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Bagaimanapun, Mohammad Zaim meminta hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung seorang isteri yang hamil lapan bulan dan seorang anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.
Ketika menjatuhkan hukuman, Siti Hanum berkata, setiap tindakan yang dilakukan ada kesannya sama ada kepada diri sendiri atau keluarga dan masyarakat.
“Maka fikirlah dulu sebelum bertindak,” katanya.
Sebelum ini, tular video memaparkan tindakan seorang lelaki berbadan tegap memakai baju merah keluar dari kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu terbabit.
Susulan itu, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis. – Malaysiapost
Kredit foto: Sinar Harian