Agong berkenan luang masa bersama anak yatim dalam program anjuran YKM

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini bagi menyembah maklum mengenai perkembangan terkini Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Ahli Parlimen Bera itu menyembah maklum mengenai program-program yang dirancang di bawah YKM yang dilancarkan ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya sebelum ini.

“Patik menjunjung kasih di atas kesudian Tuanku untuk mencemar duli berangkat ke program YKM khususnya untuk bersama anak-anak yatim dalam waktu terdekat.

“Patik juga menjunjung kasih atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap dan atas keprihatinan Tuanku untuk membantu anak-anak yatim YKM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri turut berkongsi beberapa gambar pertemuannya dengan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, pada jam 11.30 pagi tadi.

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Menurutnya, YKM bertanggungjawab untuk membantu anak-anak yatim yang kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Beliau berkata, selain itu yayasan berkenaan juga membantu anak-anak yatim yang kematian ibu bapa akibat kemalangan jalan raya dan bencana yang lain dari aspek kebajikan dan pendidikan.

Ismail Sabri melancarkan YKM pada 23 Oktober 2021 yang berperanan sebagai institusi membantu anak-anak Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Melalui yayasan itu, anak-anak yatim berkenaan berpeluang memperoleh sokongan terutama dari aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights