Hafidz Roshdi waras, boleh dibicara cedera isteri

MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bahru hari ini diberitahu pelakon Hafidz Roshdi disahkan waras dan boleh dibicarakan atas tuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri berkata, ia berdasarkan laporan psikiatri dikeluarkan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, ke atas Hafidz Roshdi atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29.

“Pihak pendakwaan menerima laporan psikiatri itu yang menyatakan tertuduh waras dan boleh dibicarakan oleh mahkamah ini,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret, hari ini.

Asmaa turut memohon mahkamah satu tarikh sebutan lain ditetapkan bagi serahan dokumen.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz memohon supaya salinan laporan psikiatri itu dapat diserahkan kepada pembelaan untuk pihaknya meneliti kandungan laporan berkenaan.

Bagaimanapun, Asmaa berkata, pendakwaan hanya mempunyai satu salinan laporan dan ia akan diserahkan pada sebutan kes akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes itu.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah memerintahkan pelakon itu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan psikiatri selepas pihak pendakwaan memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan Nurul Shuhada, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Pelakon itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap Hafidz dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Ia dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan mengikut Seksyen 323.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights