Jualan tiket tambahan tren ke Pantai Timur dibuka malam ini

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan jualan tiket tambahan bagi perkhidmatan Tren Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha dibuka mulai jam 8 malam ini.

Dalam satu kenyataan, KTMB memaklumkan penambahan dua lagi perkhidmatan ELA itu membabitkan 952 tiket termasuk koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.

Menurutnya, penambahan itu susulan permintaan menggalakkan terhadap ELA pada jualan sebelum ini.

Perjalanan Tren ELA adalah pada 27 Jun membabitkan laluan KL Sentral ke Tumpat dijadual berlepas jam 11 malam dan tiba 3.53 petang keesokan hari, manakala laluan Tumpat ke KL Sentral bertolak jam 6 petang dan tiba jam 9.32 pagi keesokan hari.

“Tren ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Kral, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat,” menurut kenyataan itu.

Tiket-tiket akan dijual dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.

“Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

“Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB,” katanya.

Perkhidmatan ELA adalah salah satu inisiatif KTMB bagi menghargai penumpang setianya, di samping menawarkan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha ini.

Ia juga sebagai sokongan kepada Kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi, khususnya di musim perayaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights